4 September 2026 (Jumaat), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan (JPK) bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor telah menjalankan Operasi Bersepadu Pindah Alih Barang di Lot 53115, Jalan Batu Muda Tambahan 1, Kampung Batu Muda Tambahan, Kuala Lumpur.
Operasi ini dijalankan bagi kali kedua terhadap struktur sementara dan khemah yang didirikan sebagai gerai makan tanpa Perintah Pembangunan daripada DBKL, sekali gus melanggar Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267). Notis Penguatkuasaan JPK telah dikeluarkan bertarikh 8 Julai 2026.
Semasa operasi, pengusaha didapati telah mengemas sendiri kelengkapan seperti kerusi, meja dan dapur. Sebuah kenderaan yang menghalang kerja-kerja operasi telah ditunda oleh Unit Tunda JPK ke tepi jalan sebelum kerja-kerja meroboh struktur diteruskan.
Antara barang sitaan yang dirampas DBKL 4 unit kanopi, 10 unit lampu panjang dan 6 unit penyambung wayar. Semua barang sitaan telah dihantar dan disimpan di Stor Jabatan Penguatkuasaan (JPK), Jalan Pahang Barat untuk tujuan rekod dan dokumentasi.
DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut.
https://adukl.dbkl.gov.my/