22 September 2026 (Selasa), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui satu operasi bersepadu roboh struktur telah bertindak tegas terhadap gerai-gerai penjaja yang menghalang kerja-kerja naik taraf longkang di sekitar Jalan Pasar dan Pasar Baharu, Pudu, Cheras, semalam.
Operasi yang dilaksanakan bersama agensi-agensi sahabat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor serta jabatan-jabatan dalaman DBKL itu merupakan kesinambungan tindakan penguatkuasaan selepas Notis Penguatkuasaan dan Notis Pengosongan Tapak dikeluarkan terhadap penjaja.
Tindakan roboh ini diambil bagi membuka laluan kepada kerja-kerja naik taraf sistem perparitan yang telah lama tertangguh, sekali gus menyelesaikan isu berbangkit yang turut memberi kesan kepada persekitaran dan keselesaan orang ramai di kawasan tersebut.
Hasil daripada operasi tersebut, gerai-gerai penjaja yang didapati menghalang kerja-kerja berkenaan telah dikenakan tindakan roboh di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Pihak DBKL menegaskan bahawa tindakan ini bukanlah bertujuan menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya adalah langkah proaktif bagi memastikan projek pembangunan infrastruktur awam dapat dilaksanakan tanpa halangan, demi kepentingan dan keselesaan bersama masyarakat setempat.
DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut.
https://adukl.dbkl.gov.my/