Default Banner

ORANG BIASA, JASA LUAR BIASA | PETUGAS YANG MEMASTIKAN SUNGAI TERPELIHARA

Utama / Berita & Acara / ORANG BIASA, JASA LUAR BIASA | PETUGAS YANG MEMASTIKAN SUNGAI TERPELIHARA

November 11th, 2026 by Admin JPRK

Sampah yang terkumpul, kelodak yang mendap dan semak samun yang memenuhi kawasan sungai boleh menghalang kelancaran aliran air, sekali gus meningkatkan risiko banjir terutama ketika hujan lebat.

Bagi memastikan keadaan ini dapat dikawal, petugas Unit Penyelenggaraan Sungai, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL sentiasa menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan sungai serta kolam takungan banjir secara berjadual.

Tugas mereka merangkumi kutipan sampah, pembersihan kelodak dan semak samun, pembaikan tebing sungai serta penyelenggaraan kolam takungan banjir bagi memastikan sistem aliran dan takungan air terus berfungsi dengan baik.

Tahukah anda? DBKL bertanggungjawab menyelenggara 111 kilometer rangkaian sungai melibatkan 10 sungai utama dan 19 sungai kecil, selain 13 kolam takungan banjir berkapasiti 1.9 juta meter padu serta sembilan kolam takungan bawah tanah (OSD) berkapasiti 75,705 meter padu.

Dengan skop penyelenggaraan yang begitu luas, tugas petugas ini memerlukan komitmen dan pemantauan berterusan. Setiap sampah yang dikutip, kelodak yang dibersihkan dan kerosakan yang dibaiki membantu memastikan sistem saliran berfungsi dengan lebih berkesan demi keselamatan warga kota.

Namun, usaha ini juga memerlukan kerjasama masyarakat. Sikap membuang sampah ke dalam longkang dan sungai bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah boleh menghalang aliran air dan meningkatkan risiko banjir.

DBKL menghargai dedikasi para petugas yang terus melaksanakan tanggungjawab mereka demi memastikan sungai dan kolam takungan banjir sentiasa berada dalam keadaan baik.

Usaha penyelenggaraan ini akan terus diperkukuh sebagai sebahagian daripada komitmen DBKL untuk mengurangkan risiko banjir serta menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih selamat, bersih dan berdaya huni.

1. 899735893 1495873406039996 3386487900440302258 n
1. 900955240 1560641599425167 6137210913723947953 n 1794383906
1. 902020139 3256661857862127 5263659296487885580 n 1794383906
1. 903755486 1111241898407080 5910923698896202671 n