Default Banner

Orang Biasa, Jasa Luar Biasa

Utama / Berita & Acara / Orang Biasa, Jasa Luar Biasa

August 5th, 2026 by Admin JPRK

Setiap hari, jutaan warga kota bergerak menggunakan rangkaian jalan raya di Kuala Lumpur. Di sebalik kelancaran perjalanan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa komited memastikan sistem pengurusan trafik beroperasi dengan cekap demi keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan orang ramai.

Amanah besar ini digalas oleh petugas Unit Pengurusan Lampu Isyarat, Jabatan Pengangkutan Bandar, DBKL.

Setiap hari, pasukan ini memantau operasi lampu isyarat di seluruh ibu kota, melaksanakan penyelenggaraan sistem, membuat pelarasan masa lampu isyarat mengikut keperluan trafik serta merancang pemasangan kemudahan di persimpangan baharu. Mereka turut menambah baik persimpangan, memasang papan tanda dan penandaan jalan serta mengurus sistem trafik pintar seperti TSENS bagi memastikan pengurusan trafik terus diperkasakan seiring perkembangan Kuala Lumpur.

Tugas mereka menuntut kecekapan, ketelitian dan tindakan yang pantas. Ketika sebahagian besar warga kota sedang menjalani rutin harian, mereka berada di lapangan dan di pusat kawalan, memastikan setiap sistem berfungsi dengan baik demi membantu melancarkan pergerakan jutaan pengguna jalan raya.

Inilah komitmen DBKL dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga kota. Setiap usaha yang dilaksanakan bukan sekadar mengurus lampu isyarat, tetapi memastikan perjalanan menjadi lebih selamat, lebih teratur dan lebih selesa untuk semua.

Mereka mungkin jarang mendapat perhatian, namun hasil kerja mereka dirasai setiap hari. Di sebalik setiap perjalanan yang lebih lancar, ada sekumpulan petugas yang bekerja dengan penuh dedikasi demi memastikan Kuala Lumpur terus bergerak maju.

Mereka ialah Orang Biasa, tetapi jasa mereka memberi makna yang luar biasa kepada warga kota.