Di sebalik kehidupan harian warga kota yang berjalan lancar, terdapat pelbagai sistem mekanikal yang perlu beroperasi tanpa henti bagi memastikan kemudahan awam sentiasa selamat dan boleh digunakan. Rumah pam kawalan banjir, lif dan eskalator di jejantas, sistem air pancut, sistem penyiraman automatik serta pelbagai kemudahan lain memerlukan pemantauan dan penyelenggaraan yang berterusan. Sekiranya sistem ini gagal berfungsi, kesannya akan terus dirasai oleh masyarakat.
Bagi memastikan semua kemudahan tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Bahagian Senggaraan Kemudahan Mekanikal (SKM), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (JKME) melaksanakan penyelenggaraan berjadual, pemeriksaan berkala, kerja-kerja baik pulih, pengujian sistem serta tindakan kecemasan apabila berlaku kerosakan. Mereka turut menyediakan khidmat nasihat teknikal dan menyelia kerja-kerja kontraktor bagi memastikan setiap kemudahan memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
Skop tugas mereka merangkumi penyelenggaraan Rumah Pam Kawalan Banjir, sistem air pancut dan pancuran air di taman rekreasi, jejantas bermotor, lif dan eskalator di jejantas pejalan kaki, kemudahan mekanikal di terowong, mesin Spiral Waste Bin di pasar dan pusat penjaja, kemudahan di depoh JKME serta krematorium DBKL. Semua aset ini memainkan peranan penting dalam memastikan operasi bandar raya berjalan dengan lancar.
Realitinya, tugas mereka tidak mengenal waktu. Ketika hujan lebat, mereka bersiap siaga memastikan rumah pam berfungsi dengan baik. Apabila berlaku kerosakan, mereka bertindak segera bagi meminimumkan gangguan kepada orang ramai. Kebanyakan hasil kerja mereka mungkin tidak kelihatan, namun setiap kemudahan yang berfungsi dengan baik adalah bukti kepada komitmen dan kepakaran mereka.
Mereka bukanlah wajah yang sering menjadi perhatian, tetapi merekalah antara insan yang memastikan Kuala Lumpur terus berfungsi dengan selamat, cekap dan selesa setiap hari. Inilah komitmen DBKL dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga kota, kerana di sebalik setiap kemudahan yang dinikmati masyarakat, sentiasa ada petugas yang bekerja dalam diam demi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar raya yang selamat, berdaya huni dan lestari.