July 10th, 2025 by User JPRK
Kuala Lumpur kini melangkah setapak lagi dalam usaha membina sebuah bandar raya yang inklusif, lestari dan sejahtera untuk semua apabila Tabung Endowmen DBKL dilancarkan secara rasmi. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bertempat di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL, dengan kehadiran YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Tabung Endowmen DBKL diwujudkan sebagai satu sumber kewangan alternatif bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan komuniti, pendidikan, kesejahteraan sosial dan pemuliharaan alam sekitar di Kuala Lumpur. Melalui inisiatif ini, DBKL dapat menangani peningkatan kos operasi dan pembangunan bandar raya secara lebih mampan dengan pengurusan kewangan yang cekap, berhemah dan berimpak tinggi kepada warga kota.
Antara manfaat kepada warga kota termasuklah pelaksanaan lebih banyak program komuniti, membuka peluang pendidikan kepada golongan memerlukan, menjadikan Kuala Lumpur lebih hijau melalui projek penghijauan serta menyokong pelbagai inisiatif kebajikan sosial. Semua ini membolehkan warga kota menikmati kehidupan yang lebih berkualiti di bandar raya ini.
Tabung ini juga dibangunkan hasil kajian bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) sepanjang tahun 2024 hingga awal 2025, membuktikan potensi endowmen sebagai mekanisme sokongan strategik dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan bandar raya secara lestari. Berpandukan prinsip Competent, Accountable, Transparent, Efficient and Effective (CATEE), setiap dana yang disumbangkan akan digunakan secara berkesan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti.
DBKL turut mengambil pendekatan Environmental, Social, and Governance (ESG) dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selain menggunakan pendekatan 4Ps (People, Public, Private, Partnership) bagi membolehkan semua pihak berganding bahu membangunkan Kuala Lumpur sebagai Bandar Untuk Semua.
Pada majlis yang sama, turut diadakan sesi penyerahan cek cura sumbangan kepada Tabung Endowmen DBKL daripada beberapa organisasi dan agensi yang turut serta menjayakan usaha pembangunan sosial dan bandar lestari di Kuala Lumpur. Antara agensi yang menyumbang ialah Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, TS Law Land, dan Mah Sing Group Berhad. Sumbangan ini membuktikan sokongan padu pelbagai pihak dalam memastikan Tabung Endowmen DBKL dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan warga kota.
DBKL yakin dengan pelaksanaan Tabung Endowmen ini, Kuala Lumpur akan terus maju sebagai bandar raya MADANI, progresif dan menyediakan ruang kehidupan berkualiti untuk warga kota hari ini serta generasi masa hadapan.
DBKL mengajak warga kota dan semua pihak untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini demi masa depan Kuala Lumpur yang lebih lestari, inklusif dan sejahtera.
Untuk maklumat lanjut dan sekiranya anda ingin menyumbang kepada Tabung Endowmen DBKL, anda boleh layari laman sesawang
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)