Bagi lebih 10,000 penghuni PPR Batu Muda, lif yang berfungsi dengan baik, jalan yang selesa dilalui dan kemudahan yang selamat digunakan ialah sebahagian daripada keperluan harian. Atas keperluan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM28.12 juta untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan dan naik taraf secara berperingkat di kawasan perumahan tersebut.
PPR Batu Muda, yang siap dibina pada tahun 2007, mempunyai tujuh blok dengan 2,132 unit kediaman dan dihuni kira-kira 10,534 orang. Seiring dengan usia bangunan dan penggunaan kemudahan setiap hari, penambahbaikan berterusan diperlukan supaya persekitaran kediaman kekal selamat, selesa dan terpelihara.
Antara kerja utama yang telah disiapkan ialah penggantian 21 unit lif melibatkan peruntukan RM11.69 juta. Kerja tersebut siap pada Oktober 2025 dan kini masih dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP). DBKL turut melaksanakan kerja turapan jalan bernilai RM1.46 juta serta baik pulih taman permainan kanak-kanak bernilai RM278,000.
Usaha ini diteruskan dengan penggantian sub-main cable (kabel dari meter ke papan agihan unit – unit) bernilai RM5.6 juta yang dijadualkan bermula pada Oktober 2026. Kerja mengecat bangunan pula dirancang pada tahun 2027 dengan anggaran kos RM9.1 juta.
Pada hari ini, PPR Batu Muda turut menjadi lokasi utama Program Pembersihan Mega Seluruh Negara dan Karnival Keselamatan Kebakaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 sempena Hari Cuci Malaysia. Selain gotong-royong bersama komuniti, program ini merangkumi pameran alam sekitar, pemeriksaan kesihatan, aktiviti kitar semula serta pengisian berkaitan keselamatan kebakaran.
Penjagaan PPR Batu Muda memerlukan usaha yang berterusan, daripada penyelenggaraan bangunan dan kemudahan hinggalah kebersihan kawasan bersama. DBKL akan terus memberi perhatian kepada keperluan perumahan awam agar warga kota dapat menikmati kediaman yang lebih selamat, selesa dan kondusif.