November 26th, 2026 by Admin JPRK
Sidang Media Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2027 telah berlangsung pada hari ini, dengan pembentangan disampaikan oleh YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi memperincikan perancangan kewangan serta hala tuju pengurusan dan pembangunan bandar raya bagi tahun 2027.
Belanjawan DBKL 2027 berjumlah RM3.299 bilion, merangkumi RM2.504 bilion bagi pengurusan dan RM795.76 juta bagi pembangunan, dengan anggaran hasil sebanyak RM2.563 bilion.
Belanjawan ini memberi tumpuan kepada lima kluster utama. Kluster Kediaman Awam yang Inklusif dan Sejahtera diperuntukkan sebanyak RM412.83 juta, dengan fokus kepada pengurusan dan pembangunan PA/PPR, Perumahan Madani dan Rumah Majlis serta kesejahteraan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup warga kota.
Kluster Gaya Hidup Sihat, Hijau dan Vibran pula menerima peruntukan sebanyak RM319.78 juta, bagi menyokong pembangunan bandar hijau dan lestari, program pejalan kaki berbumbung serta aktiviti kebudayaan, kesenian dan sukan dalam mewujudkan persekitaran bandar yang sihat, aktif dan vibran.
Bagi kluster Bandar Selamat dan Berdaya Tahan Iklim, sebanyak RM701.22 juta diperuntukkan bagi memberi tumpuan kepada penyelenggaraan jalan raya, pengurusan sisa pepejal, mitigasi banjir serta penyelenggaraan dan pengurusan cerun, demi memastikan keselamatan dan ketahanan bandar raya.
Kluster Bandar Raya Pintar dan Tadbir Urus Cemerlang menerima peruntukan sebanyak RM649.85 juta, yang merangkumi usaha memperkukuh tadbir urus bandar raya, pengurusan sistem trafik dan lalu lintas yang cekap, dan penggunaan sistem digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan DBKL.
Sementara itu, kluster Bandar Raya Berdaya Saing dan Beridentiti diperuntukkan sebanyak RM117.60 juta, dengan fokus kepada program Lestari Niaga dan Warisan KL bagi memperkukuh ekonomi bandar, menyokong aktiviti perniagaan serta memelihara identiti dan warisan Kuala Lumpur.
Melalui Belanjawan DBKL 2027, DBKL terus komited melaksanakan pengurusan bandar raya yang cekap, pembangunan yang mampan serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan demi kesejahteraan dan kualiti hidup warga kota dengan tema Belanjawan DBKL 2027 Rakyat Sejahtera