Selaras dengan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperkukuh ekosistem infrastruktur digital yang cekap dan mampan, bengkel ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia kemudahan rangkaian (Network Facilities Provider, NFP). Sesi libat urus ini memberi tumpuan kepada integrasi sistem Building Control One Data System (Br1D 2.0) dan Communications Infrastructure Permit Management (CIPM), di samping membincangkan cadangan penambahbaikan Garis Panduan Telekomunikasi DBKL bagi mempertingkat kecekapan penyelarasan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bengkel ini telah diadakan di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 24 Jun 2026 dan dirasmikan oleh YBrs. TPr. Haji Rosli bin Nordin, Pengarah Eksekutif (Perancangan).
Bengkel ini turut memperlihatkan pendekatan proaktif DBKL dalam memperkukuh tadbir urus pembangunan infrastruktur telekomunikasi melalui kerjasama erat dengan MCMC dan pemain industri. Selain memperkemas proses pengurusan permit, sesi ini menjadi medan perkongsian pandangan dan penyelarasan dasar bagi memastikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi dilaksanakan secara lebih sistematik, selamat, cekap dan mampan. Turut diadakan ialah sesi taklimat kesedaran oleh TM Berhad berhubung isu vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi yang memberi kesan kepada kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan iltizam DBKL untuk terus menerajui transformasi pengurusan pembangunan bandar melalui tadbir urus yang lebih responsif, kolaboratif dan berteraskan teknologi. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam dan industri, malah menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien serta pembangunan rangkaian telekomunikasi yang berdaya tahan, sekali gus menyokong aspirasi Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya pintar, berdaya saing dan bertaraf antarabangsa.