August 10th, 2025 by Admin JPRK
Dataran DBKL pagi ini bergema dengan warna warni budaya serantau apabila ASEAN Cultural Parade @ KL Car Free Morning berlangsung meriah, disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, dengan kehadiran para duta, kor diplomatik, delegasi ASEAN serta warga kota.
Kemuncak acara menyaksikan Perarakan Budaya oleh peserta tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai pakaian tradisional, irama muzik dan tarian kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian serta kekayaan budaya Malaysia dan rakan rakan ASEAN.
Acara turut diserikan dengan Merdeka Fun Run 2025 anjuran Kementerian Belia dan Sukan serta Technip Fun Run hasil kerjasama DBKL bersama Technip Energies yang menzahirkan kejayaan pelaksanaan model 4P iaitu Public, Private, People, Partnership.
Program pada pagi ini diadakan sempena penganjuran tiga acara utama peringkat ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 10 hingga 15 Ogos 2025. ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) menjadi platform untuk bandar bandar ASEAN berkongsi amalan terbaik pembangunan hijau, teknologi pintar dan penyelesaian rendah karbon. ASEAN Governors Mayors Forum (AGMF) menghimpunkan Gabenor dan Datuk Bandar bagi membincangkan kerjasama pembangunan bandar yang inklusif dan responsif terhadap perubahan iklim. Meeting of Governors Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) pula berperanan sebagai mesyuarat rasmi pemimpin ibu kota ASEAN untuk membincangkan isu bersama seperti pengurusan sisa, perumahan, kesihatan awam dan pergerakan rakyat.
KL Car Free Morning terus menjadi wadah warga kota menikmati suasana bebas kenderaan sambil beriadah, kali ini dengan sentuhan budaya serumpun yang memupuk semangat kebersamaan dan hubungan serantau.
Kuala Lumpur melangkah sebagai bandar yang inklusif, mampan dan penuh nilai, membina masa depan yang hijau, terbuka dan bersedia menghadapi cabaran.
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)