Default Banner

DBKL Ambil Tindakan Segera, Atasi Kerosakan Jalan Di Persimpangan Jalan Conlay–Jalan Kia Peng

Home / News & Events / DBKL Ambil Tindakan Segera, Atasi Kerosakan Jalan Di Persimpangan Jalan Conlay–Jalan Kia Peng

November 15th, 2026 by Admin JPRK

Keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Susulan aduan orang awam mengenai kerosakan jalan di persimpangan Jalan Conlay–Jalan Kia Peng, DBKL telah menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi mengenal pasti punca kerosakan serta melaksanakan tindakan pembaikan.

Hasil pemeriksaan mendapati kerosakan jalan berpunca daripada limpahan air akibat sistem saliran yang tersumbat. Siasatan lanjut menemukan pembetung yang menghubungkan dua saliran telah tersumbat dan rosak akibat akar pokok yang menjalar sehingga menghalang aliran air.

Bagi menangani masalah ini, DBKL telah melaksanakan kerja-kerja membuka struktur saliran yang terjejas bagi memulihkan aliran air. Pada masa yang sama, kerja tampalan segera menggunakan kaedah thermal patcher turut dilaksanakan bagi menutup lubang-lubang kritikal dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Kerja-kerja pembaikan saliran akan diteruskan dan dijangka mengambil masa kira-kira empat minggu. Setelah kerja tersebut selesai, DBKL akan melaksanakan kerja pengisaran dan penurapan semula jalan bagi memastikan permukaan jalan berada dalam keadaan lebih baik dan selamat.

DBKL memahami kebimbangan orang awam dan tidak memandang ringan sebarang kerosakan infrastruktur yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Setiap aduan yang diterima menjadi asas kepada tindakan penambahbaikan, bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah semasa, tetapi juga bagi menangani puncanya agar kerosakan yang sama dapat dikurangkan daripada berulang.

DBKL akan terus komited memastikan infrastruktur bandar raya diselenggara dengan baik demi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan seluruh warga kota.

3. 910026817 1705732597782089 8667761125294787832 n
3. 905062611 1705732604448755 5557276897751458629 n