Default Banner

DBKL Perkukuh Penguatkuasaan Melalui Integrasi Sistem E-Lesen Dan SPJ Serta Melaksanakan Inisiatif Pemutihan Rekod Kompaun Dan Saman Trafik

Home / News & Events / DBKL Perkukuh Penguatkuasaan Melalui Integrasi Sistem E-Lesen Dan SPJ Serta Melaksanakan Inisiatif Pemutihan Rekod Kompaun Dan Saman Trafik

May 22nd, 2026 by Admin JPRK

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan langkah pembaharuan dengan mengintegrasikan Sistem e-Lesen dengan Sistem SPJ (kompaun DBKL) bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, tersusun dan berkesan.

Pelaksanaan integrasi sistem ini selaras dengan keperluan warga kota yang mahukan penguatkuasaan lebih konsisten, telus dan efektif khususnya melibatkan pematuhan lesen serta penyelesaian kompaun dan saman trafik yang tertunggak. Melalui integrasi ini, setiap permohonan baharu atau pembaharuan lesen perniagaan akan tertakluk kepada penyelesaian tunggakan kompaun dan saman trafik DBKL.

Bagi memastikan pelaksanaan sistem integrasi baharu ini dapat dijalankan secara lebih teratur dan berkesan, DBKL akan melaksanakan Inisiatif Pemutihan Rekod Kompaun secara khas dan one-off dalam Tempoh Ihsan (Grace Period) bermula 25 Mei 2026 hingga 30 Jun 2026.

Pendekatan khas ini diperkenalkan bagi memberi ruang kepada warga kota menyelesaikan rekod kompaun lama yang tertunggak sejak bertahun-tahun sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan mulai 1 Julai 2026. Inisiatif ini juga bertujuan membantu proses penyelarasan rekod kompaun lama agar pelaksanaan sistem penguatkuasaan yang lebih bersepadu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif.

Kadar khas penyelesaian saman trafik dalam tempoh tersebut adalah seperti berikut:

• Kompaun dan Saman melebihi 15 tahun: RM5 bagi setiap saman

• Kompaun dan Saman antara 10 hingga 15 tahun: RM10 bagi setiap saman

• Kompaun dan Saman 5 tahun hingga 25 Mei 2026: RM20 bagi setiap saman

Bermula 1 Julai 2026, semua permohonan baharu atau pembaharuan lesen tidak akan dibenarkan sekiranya masih terdapat sebarang tunggakan kompaun dan saman trafik DBKL.

Pada masa yang sama, DBKL turut meneruskan pelaksanaan inisiatif pembaharuan lesen maksimum 3 tahun bagi memudahkan urusan komuniti perniagaan. Bagi pembaharuan lesen untuk tempoh dua tahun, pelesen akan menikmati diskaun fi lesen sebanyak 5%, manakala pembaharuan tiga tahun akan menikmati diskaun sebanyak 10%, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk tiada tunggakan kompaun dan saman trafik.

Langkah ini diambil bagi menggalakkan pematuhan, mengurangkan beban urusan pembaharuan tahunan serta memastikan sistem pelesenan dan penguatkuasaan yang lebih efisien dapat dilaksanakan sebagai piawaian baharu di Kuala Lumpur.

DBKL kekal komited dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta mewujudkan ekosistem bandar raya yang lebih mesra perniagaan, progresif dan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi.

Semakan kompaun dan saman trafik boleh dibuat melalui pautan:

https://share.google/jGhyJJ2HkQMzRwSpCk

Semakan dan bayaran kompaun serta saman trafik pula boleh dijelaskan secara dalam talian melalui Aplikasi Pay@KL.

Bayaran juga boleh dilakukan di Portal PBTPay di:

https://pbtpay.kpkt.gov.my

Sebagai alternatif, bayaran juga boleh dibuat di kaunter DBKL atau melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

background grey

Contact Us

Kuala Lumpur City Hall

Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia

03 2617 9000

03 2698 0460

dbkl@dbkl.gov.my

Total Visitor

Today:

0

Total:

0

Latest Update:

30/05/2026

Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.

All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)

ISO