September 29th, 2025 by Admin JPRK
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu, telah berkenan berangkat ke ESG Centre Kuala Lumpur di Tun Razak Exchange (TRX). Keberangkatan Tuanku bersama Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan menyerlahkan sokongan diraja terhadap agenda kemampanan di ibu negara.
Dalam majlis tersebut, Tuanku dipersembahkan taklimat mengenai inisiatif hijau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta dibawa meninjau fasiliti ESG Centre. Sejak pembukaannya pada 1 Ogos 2024, pusat ini telah menerima kunjungan lebih 9,000 pelawat dan berperanan sebagai medan pembelajaran serta pemerkasaan amalan ESG.
Selaras dengan gagasan Kuala Lumpur Smart City 2030, DBKL sedang membangunkan Urban Digital Twin bagi mensimulasikan aliran trafik, risiko banjir, penggunaan tenaga serta impak pembangunan terhadap iklim. Inovasi ini memastikan keputusan berasaskan data yang tepat, mempertingkat perkhidmatan bandar.
Dalam aspek mobiliti, sebanyak 84 buah bas elektrik GoKL kini beroperasi di lapan laluan utama, mengurangkan pelepasan karbon sekitar 4,000 tan setahun. DBKL turut membangunkan laluan basikal sepanjang 73 kilometer, dengan tambahan 6.9 kilometer dirancang pada tahun hadapan.
Bagi kesejahteraan warga kota, sasaran minimum 20 meter persegi tanah lapang seorang, bersamaan lebih 4,700 hektar, ditetapkan. Melalui Green Connector sepanjang 254 kilometer, taman-taman komuniti dihubungkan bagi memupuk gaya hidup sihat serta mesra alam.
Dengan pendekatan 4P – Public, Private, People and Partnership, DBKL kekal beriltizam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya hijau, pintar dan berdaya huni, seiring dengan titah sokongan Tuanku.\
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)