October 27th, 2025 by Admin JPRK
Festival Taman Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Park Festival – KLPF) 2025 melabuhkan tirainya semalam dengan penuh warna dan kenangan manis. Edisi dwi tahunan yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa itu berjaya menarik lebih 280,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelancong antarabangsa menjadikannya antara acara taman bandar paling meriah di rantau ini.
Menambah seri festival, Her Highness Princess Sama Faisal Al Saud, ahli keluarga diraja Arab Saudi, berkenan berangkat melawat festival tersebut. Ketibaan baginda disambut mesra oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, yang turut mengiringi lawatan khas baginda di sekitar kawasan festival.
Sepanjang lawatan, Her Highness Princess Sama Faisal Al Saud berpeluang menikmati keindahan serta kreativiti pameran seperti Mystical Titiwangsa, Green Showcase, Garden of Lights, dan pelbagai pameran interaktif yang menampilkan elemen seni taman, biodiversiti, inovasi landskap serta konsep reka bentuk bandar hijau.
Kehadiran baginda bukan sekadar mencerminkan hubungan mesra antara Kuala Lumpur dan Arab Saudi, malah memperkukuh jaringan diplomasi bandar dalam agenda pembangunan hijau, mampan dan inklusif seiring aspirasi Kuala Lumpur sebagai kota masa depan yang lestari dan berdaya huni.
Kuala Lumpur Park Festival 2025 sekali lagi membuktikan bahawa ruang hijau bukan sekadar tempat rekreasi, tetapi juga platform penyatuan masyarakat, inovasi dan diplomasi budaya. Dengan semangat tersebut, festival ini meninggalkan inspirasi baharu untuk semua, bahawa keindahan taman adalah nadi kehidupan bandar yang harmoni.
|
|
|
|
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)