Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh usaha promosi kesihatan melalui penganjuran Majlis Apresiasi COMBI DBKL 2026 yang berlangsung hari ini di Vivatel Hotel Kuala Lumpur.
Majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada 18 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas komitmen dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan demam denggi, di samping meningkatkan kesedaran warga sekolah mengenai bahaya merokok, vape dan shisha.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL.
Turut diadakan gimik pelancaran “COMBI DBKL 2026: Bersama COMBI DBKL, Membina Generasi Sihat, Sekolah Selamat” sebagai simbolik pengukuhan kerjasama antara DBKL, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam memperkasa agenda promosi kesihatan serta menyokong kesinambungan program Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR).
Majlis turut memberi pengiktirafan kepada sekolah, guru dan pelajar yang menunjukkan komitmen serta kreativiti dalam pelaksanaan aktiviti COMBI, termasuk penghasilan video kreatif COMBI terbaik sebagai medium penyampaian mesej kesihatan yang lebih segar, menarik dan dekat dengan generasi muda.
DBKL merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua sekolah, guru serta pelajar yang terus menjadi rakan strategik dalam membudayakan amalan hidup sihat dan mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat.
Bersama-sama kita memperkukuh usaha pencegahan denggi, menjauhi asap rokok serta membina generasi yang sihat dan berkualiti.