July 7th, 2025 by Admin JPRK
Pada hari ini telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), bertempat di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1.
Program Dapur Digital ini merupakan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pepper Labs dalam usaha membuka ruang kepada ibu tunggal, belia, suri rumah serta keluarga B40 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) untuk menjana pendapatan melalui kemahiran memasak dengan sokongan teknologi dan platform e-dagang.
Program ini bukan sekadar inisiatif teknologi, tetapi gerakan ekonomi berasaskan komuniti yang memberi peluang kepada rakyat untuk berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka. Sejak pelaksanaan lima Dapur Digital perintis pada tahun 2024, program ini telah mencatatkan hasil jualan melebihi RM1.08 juta, membuktikan keberkesanan inisiatif ini dalam memperkasa ekonomi komuniti bandar.
Atas kejayaan tersebut, YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2025 telah mengumumkan peruntukan tambahan bagi membina 25 lagi Dapur Digital di seluruh negara termasuk 10 lagi di Kuala Lumpur, menjadikan keseluruhan 15 Dapur Digital beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini.
Bermula tahun ini juga, Dapur Digital akan berfungsi bukan sahaja sebagai dapur komuniti, tetapi turut menjadi pusat pemprosesan makanan, ruang perniagaan e-dagang serta ruang aktiviti komuniti bagi memacu pembangunan komuniti secara lebih inklusif dan mampan.
DBKL bersama JWP akan terus mendokong inisiatif ini melalui Program Usaha Jaya Insan (PUJI) dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk rakan strategik seperti Maxis, Brahim’s, Media Prima, PPB Group, Shopee, TikTok dan Grab Malaysia, Dapur Digital diyakini dapat memperkukuh kemahiran digital serta keusahawanan dalam kalangan komuniti bandar, melahirkan lebih ramai usahawan mikro berdaya saing dalam ekonomi digital.
Turut hadir memeriahkan majlis pada hari ini ialah YB P. Prabakaran, Ahli Parlimen Batu; YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP); YBrs. Tuan Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL; YBrs. En Mohd Khalid bin Mohammed Latiff, Ketua Pengarah Unit Pantau Madani; YBrs. Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah; YBrs. Ir Kuhan Pathy, Pengasas Pepper Labs; dan YBrs. Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios.
DBKL komited untuk terus menyokong usaha ke arah pembangunan sosioekonomi bandar yang progresif, inklusif dan mampan demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur.
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)