November 16th, 2026 by Admin JPRK
Usaha mengurangkan risiko banjir kilat di Kuala Lumpur terus diperkukuh melalui pelaksanaan projek mitigasi, penyelenggaraan infrastruktur saliran dan peningkatan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Perkara ini antara yang diberikan perhatian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan Kali Kedua yang dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), sebelum beliau mengadakan sidang media bersama wakil agensi berkaitan.
Turut hadir YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, serta wakil daripada Perbadanan Putrajaya, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Hasil pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi, DBKL berjaya mengurangkan jumlah lokasi panas banjir kilat daripada 31 lokasi pada tahun 2022 kepada 14 lokasi, iaitu penurunan melebihi 50 peratus. Usaha ini diteruskan dengan sasaran mengurangkan jumlah tersebut kepada 10 lokasi atau lebih rendah menjelang akhir tahun 2026.
Antara tindakan yang dipergiat termasuk meningkatkan kekerapan penyelenggaraan parit, sungai dan kolam takungan kepada dua bulan sekali sepanjang musim monsun, menaik taraf sistem saliran dan saluran masuk air, menyelenggara stesen pam serta melaksanakan pembinaan kemudahan takungan air bawah tanah (On-Site Detention atau OSD) dan tembok banjir.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, seramai 350 anggota DBKL bersama bilik gerakan sentiasa bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan. Pemantauan turut diperkukuh melalui Pejabat Cawangan DBKL di 11 kawasan Parlimen bagi memastikan keadaan semasa ketika hujan dapat dilaporkan secara terus dan tindakan segera dapat diselaraskan.
Kerjasama strategik antara DBKL, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi keselamatan dan penyelamat turut diperkukuh bagi memastikan pengurusan risiko banjir dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi langkah pencegahan, pemantauan dan tindakan kecemasan.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan aspek keselamatan awam, jenayah komersial serta penyelarasan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan kesejahteraan dan ketenteraman Wilayah Persekutuan terus terpelihara.
DBKL akan terus memperkukuh usaha mitigasi banjir melalui perancangan jangka panjang, penyelenggaraan berterusan dan kerjasama erat antara agensi bagi mengurangkan risiko banjir kilat serta memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang selamat, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua