Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), telah melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Pematuhan Keselamatan Hasil Pertanian di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 25 Jun 2026. Inisiatif ini bertujuan memastikan hasil pertanian yang dipasarkan mematuhi piawaian keselamatan makanan, khususnya dari segi kandungan residu racun perosak yang tidak melebihi Had Maksimum Residu (MRL) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Sebagai pusat pengedaran utama yang membekalkan hampir 70 peratus hasil pertanian negara, Pasar Borong Kuala Lumpur merupakan lokasi strategik bagi pelaksanaan operasi ini.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 60 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan telah diambil untuk dianalisis di Food Safety and Quality Analytical Centre (FoSAC). Pada masa yang sama, DBKL telah mengeluarkan dua kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 47, Undang-Undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 terhadap individu yang merokok di kawasan pasar borong, serta mencadangkan penambahan papan tanda larangan merokok bagi meningkatkan tahap kesedaran awam.
Dalam operasi yang sama, FAMA telah mengeluarkan 19 kenyataan pemeriksaan premis dan 10 notis kesalahan di bawah Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL). Selain itu, sesi penerangan turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemborong mengenai kepentingan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
DBKL akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin, tahap pematuhan undang-undang dipertingkatkan, serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat, bersih dan teratur demi kesejahteraan warga kota.