Default Banner

Orang Biasa, Jasa Luar Biasa | Penjaga Teduhan Kota

Home / News & Events / Orang Biasa, Jasa Luar Biasa | Penjaga Teduhan Kota

November 19th, 2026 by Admin JPRK

Kuala Lumpur mempunyai pelbagai jenis pokok teduhan yang menghiasi jalan raya, taman awam dan kawasan perumahan. Selain memberikan teduhan dan mewujudkan persekitaran yang nyaman, pokok-pokok ini turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan kehijauan serta keseimbangan ekosistem bandar raya.

Namun, faktor usia, perubahan cuaca, penyakit dan kerosakan struktur pokok boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan orang awam sekiranya tidak dipantau dan diselenggara dengan baik. Justeru, pengurusan pokok teduhan memerlukan perhatian berterusan, khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan warga kota.

Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh warga kerja Unit Pengurusan Pokok Rendang, Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR) DBKL yang berperanan memastikan pokok-pokok teduhan di seluruh Kuala Lumpur diurus dan diselenggara secara sistematik.

Antara tugas utama pasukan ini termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan pokok, mengenal pasti kerosakan dan ketidakstabilan struktur, membuat penilaian risiko serta melaksanakan kerja-kerja cantasan, rawatan dan pengalihan pokok berdasarkan keperluan serta penilaian teknikal.

Pasukan ini turut bertanggungjawab menguruskan inventori dan pangkalan data pokok bagi membantu perancangan, pemantauan serta menentukan keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan, khususnya melibatkan pokok matang dan berisiko tinggi.

Pelaksanaan tugas ini memerlukan pengetahuan teknikal, kemahiran dan ketelitian bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dapat mengurangkan risiko kejadian pokok tumbang atau dahan patah yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam.

Melalui pengurusan dan penyelenggaraan pokok yang terancang, DBKL komited untuk mengekalkan kehijauan Kuala Lumpur di samping mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Usaha ini penting bagi memastikan warga kota dapat terus menikmati persekitaran yang hijau, nyaman dan selamat, selaras dengan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang mampan, berdaya huni dan inklusif untuk semua.

1. 896982557 1688676219550608 7915961022084915633 n
1. 911505034 4584435021874114 896366064038459420 n
1. 914332812 2950413448672607 1659974350058957752 n
1. 915606256 910868728686921 7909438662531738114 n 1795053873