March 26th, 2026 by Admin JPRK
Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meminimumkan gangguan kepada warga kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi dan penyelenggaraan pokok sepanjang minggu pertama cuti Hari Raya Aidilfitri.
Pelaksanaan kerja-kerja ini dijadualkan pada tempoh tersebut berikutan pengurangan jumlah kenderaan di jalan raya ketika warga kota Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut perayaan. Pendekatan ini bukan sahaja membantu melancarkan operasi kerja di lapangan, malah turut meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta petugas yang terlibat.
Kerja-kerja mitigasi yang dilaksanakan merangkumi pemangkasan dahan berisiko, penebangan pokok uzur serta rawatan pokok yang berpotensi mendatangkan bahaya kepada orang awam dan harta benda. Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Jabatan dalam memastikan pengurusan pokok bandar yang selamat, terancang dan mampan demi kesejahteraan warga kota.
Antara lokasi yang terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja ini adalah:
• Jalan Bukit Setiawangsa
• Jalan Kepong Batu 6 1/2
• Jalan Puncak Kiara 1, Sri Hartamas
• Lorong Maarof, Bangsar
• Jalan Kelapa, Segambut
• Jalan Danau Saujana
• Perumahan Levenue, Desa ParkCity
• Jalan Sentul
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan keselamatan serta papan tanda yang disediakan di kawasan kerja. Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kerja-kerja ini.
|
|
|
|
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)