Default Banner

Perhimpunan Korporat DBKL Bulan Januari 2025

Home / News & Events / Perhimpunan Korporat DBKL Bulan Januari 2025

January 7th, 2025 by Admin JPRK

Hari ini 7 Januari 2025, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah menyampaikan amanat pertama beliau bagi tahun 2025 kepada warga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Perhimpunan Korporat DBKL bulan Januari 2025 yang diadakan di Dewan Perdana Mestika, Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Hadir sama adalah Ahli - Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tahun 2025 merupakan tahun pelaksanaan dan tindakan (Year of Implementation and Action). Beliau menyeru semua warga kerja DBKL untuk terus memperbaiki prestasi perkhidmatan, selaras dengan amanat YAB Perdana Menteri yang telah  disampaikan oleh beliau dalam perjumpaan bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri.

Sebelum ini, DBKL telah melancarkan 15 Program Perdana DBKL (Flagship Programme) bagi tempoh 2024 hingga 2026. Program-program ini menumpukan kepada lima fokus utama, iaitu pembangunan berasaskan pelan, komuniti inklusif, bandar hijau dan mampan, komunikasi yang efektif, serta tadbir urus yang baik.

Beliau turut menekankan bahawa bagi merealisasikan 15 program ini, setiap jabatan perlu menjadikannya sebagai KPI jabatan dengan menetapkan pegawai bertanggungjawab serta peranan yang jelas. Matriks kebertanggungjawaban RACI (Responsible, Accountable, Consulted, Informed) juga telah ditetapkan sebagai panduan bagi memastikan produktiviti yang berkesan dan pengurusan kos yang strategik tanpa mengorbankan kualiti.

Selain itu, Datuk Bandar menyeru semua warga kerja DBKL agar terus konsisten memerangi salah guna kuasa dan rasuah. Beliau menegaskan bahawa warga kerja tidak perlu takut untuk melaporkan sebarang amalan tidak beretika sekiranya berlaku dalam organisasi.

Datuk Bandar turut berkongsi pencapaian DBKL iaitu pengiktirafan 3 bintang Energy Management Gold Standard (EMGS) yang dikeluarkan oleh ASEAN Energy Management Scheme untuk Menara DBKL 1. Anugerah ini menjadikan DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan pertama yang menerima pengiktirafan tersebut.

Mengakhiri ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja DBKL atas usaha dan pencapaian sepanjang tahun 2024. Beliau menyeru agar warga kerja terus berusaha meningkatkan prestasi dan imej DBKL demi memastikan kejayaan organisasi dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur pada tahun 2025.


Contact Us

Kuala Lumpur City Hall

Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia

03 2617 9000

03 2698 0460

dbkl@dbkl.gov.my

Total Visitor

Today:

0

Total:

0

Latest Update:

12/05/2025

Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.

All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)