Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan pemeriksaan semula di sebuah tapak binaan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2026, susulan tindakan penutupan yang dibuat pada minggu sebelumnya berikutan wabak demam denggi dan penemuan empat tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk di kawasan tapak binaan tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati pihak pengurusan tapak telah mengambil tindakan pembetulan dan mematuhi keperluan kesihatan yang ditetapkan. Tiada bekas positif atau bekas berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk dikesan di dalam mahupun di luar kawasan tapak binaan.
Pihak pengurusan turut melaksanakan langkah kawalan vektor secara berkala, termasuk fogging sekali seminggu dan larvaciding dua kali seminggu bagi mengurangkan risiko pembiakan nyamuk serta penularan penyakit bawaan vektor.
Susulan pematuhan yang telah dicapai, tapak binaan berkenaan dibenarkan beroperasi semula mulai 11 Ogos 2026.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek kebersihan, kesihatan awam serta kawalan vektor di tapak binaan sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan.
Pembangunan pesat Kuala Lumpur perlu sentiasa seiring dengan perlindungan kesihatan dan kesejahteraan warga kota.