September 29th, 2025 by Admin JPRK
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan lima sistem digital baharu di Auditorium DBKL bersempena tema “Keselamatan Digital, Tanggungjawab Bersama.” Antara yang diperkenalkan ialah BR1D 2.0, Adu@KL, Portal Rasmi DBKL versi baharu, KL City Manager dan KL Free WiFi. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, dengan kehadiran Pengarah-Pengarah Eksekutif DBKL serta wakil rakan strategik seperti SKMM, MyDigital ID, ITMAX System Berhad dan BlackBerry .
Transformasi ini membolehkan urusan harian warga kota menjadi lebih mudah dan pantas. Melalui sistem Adu@KL, pelbagai aduan rakyat dapat dipantau dan diambil tindakan dengan lebih berkesan. Hasilnya, semakin banyak aduan berjaya diselesaikan, mencerminkan peningkatan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan DBKL dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama, DBKL turut menekankan aspek keselamatan digital. Melalui Dasar Keselamatan Siber 2025, DBKL memperkukuh firewall, melaksanakan sistem pemantauan ancaman masa nyata serta menyediakan latihan kesedaran berkala kepada warga kerja. Usaha ini menggariskan bahawa perlindungan data dan keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama seluruh warga kota.
Kuala Lumpur juga telah diberi mandat untuk mempengerusikan Mesyuarat Datuk Bandar dan Gabenor Ibu Kota ASEAN 2025 serta menyokong pembentukan AI Cities Network bagi Asia Tenggara. Peranan ini membuktikan kesediaan Kuala Lumpur untuk berkongsi pengalaman dalam bidang bandar pintar, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara adil, telus dan beretika.
Pelancaran ini bukan sahaja memperkenalkan sistem baharu, tetapi turut menandakan langkah besar DBKL dalam membina masa depan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang lebih sejahtera, lebih bersedia, dan lebih disayangi.
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)