Taman Alam Damai merupakan sebuah taman awam yang terletak di hujung kawasan Parlimen Bandar Tun Razak serta bersempadan dengan daerah Hulu Langat. Taman ini dibina oleh pihak pemaju sebagai sebahagian daripada keseluruhan pembangunan Alam Damai. Dengan keluasan 9.5 hektar, taman ini mempunyai topografi berbukit dan bertingkat. Oleh itu, bagi memastikan kestabilan cerun sedia ada, pembangunan landskap mengekalkan konsep minimal dan semula jadi di samping menyediakan kemudahan rekreasi pasif dan aktif kepada para pengunjung.
Di bahagian paling bawah, terdapat kawasan tempat letak kenderaan yang mampu menampung sebanyak 128 petak parkir. Kawasan ini menghadap pintu masuk utama serta dilengkapi dengan plaza ketibaan, pondok pengawal dan tandas awam. Menelusuri trek jogging, para pengunjung akan dikelilingi pokok-pokok teduhan bercirikan alam semula jadi. Seterusnya, mereka akan tiba di kawasan lapang yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rekreasi, termasuk gelanggang bola keranjang, gelanggang futsal, set modular taman permainan kanak-kanak, serta sebuah wakaf untuk pengunjung beristirehat.
Di kawasan tengah taman, terdapat sebuah dataran seluas 0.5 hektar yang berfungsi sebagai "axis" atau pusat tumpuan utama. Dataran ini menempatkan sebuah kolam air pancut serta landskap berkonsepkan laman formal. Ia terletak di antara dua pintu masuk yang menghubungkan kawasan perumahan dengan jalan utama Lingkaran Alam Damai. Reka bentuk rupa bumi bertingkat dengan platform berbeza turut mewujudkan pemandangan vista 180º yang menarik dari platform tertinggi. Kawasan ini juga sesuai dijadikan lokasi untuk pelbagai aktiviti berkumpulan seperti yoga, taichi, qigong dan lain-lain aktiviti seumpamanya.
Menuju ke arah utara taman, terdapat laluan lurus menyerupai sebuah avenue sepanjang hampir 500 meter yang dihiasi dengan deretan pokok Merawan Siput Jantan. Laluan ini berakhir di sebuah kawasan rekreasi yang menempatkan gelanggang futsal.
Taman Alam Damai dibuka setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam. Para pengunjung diingatkan supaya mematuhi Undang-Undang Kecil Taman 2012 bagi memastikan keselesaan semua pengguna.
Bagi mereka yang berminat untuk menganjurkan aktiviti luar seperti hari keluarga, penggambaran dan sebagainya, tempahan boleh dibuat melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi di talian 03-26176393.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
03 2617 9000
03 2698 0460
dbkl@dbkl.gov.my
Hari Ini:
0
Keseluruhan:
0
Kemaskini Terakhir:
14/09/2025
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)