Taman Botani Perdana merupakan salah satu taman awam di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Taman ini dahulunya dikenali sebagai Taman Tasik Perdana atau Lake Garden dan dibangunkan sebagai taman rekreasi pada tahun 1888. Pada tahun 2011, taman ini dijenamakan semula sebagai Taman Botani Perdana dalam usaha menjadikannya sebuah taman botani bertaraf dunia. Dengan keluasan 172.9 ekar, taman ini juga menjadi lokasi riadah bagi penduduk tempatan dan pelancong.
Keistimewaan utama taman ini ialah suasana nyaman dan kehijauan alam semula jadi walaupun terletak di tengah kesibukan bandar raya Kuala Lumpur. Pengunjung dapat menikmati pelbagai tarikan menarik seperti Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Taman Rusa, Taman Herba, Taman Hikayat, Taman Etnobotani, taman permainan kanak-kanak, tasik rekreasi serta laluan joging. Selain itu, kawasan ini juga berhampiran dengan beberapa lokasi pelancongan terkenal seperti Kuala Lumpur Bird Park, Planetarium dan Muzium Negara.
Taman Botani Perdana bukan sahaja menjadi lokasi rekreasi keluarga, malah turut berfungsi sebagai pusat pendidikan alam sekitar dan konservasi. Pelbagai spesies pokok ditanam dan dipelihara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan alam semula jadi. Di taman ini juga terdapat Herbarium yang berperanan sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan spesimen tumbuhan untuk tujuan rujukan, pendidikan dan penyelidikan botani. Keindahan landskapnya menjadikan taman ini tempat yang sesuai untuk aktiviti santai, fotografi, senaman dan program komuniti.
Kesimpulannya, Taman Botani Perdana menjadi antara tempat rekreasi utama di Kuala Lumpur yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan sejarah tersendiri. Gabungan keindahan alam, nilai sejarah serta kemudahan rekreasi moden menjadikan taman ini antara lokasi terbaik untuk berehat dan menikmati suasana hijau di tengah kota.
Taman ini dibuka setiap hari bermula pada jam 5.30 pagi. Waktu operasi taman adalah sehingga jam 10.00 malam bagi hari Ahad hingga Khamis, manakala pada hari Jumaat dan Sabtu, waktu operasi dilanjutkan sehingga jam 12.00 tengah malam. Sehubungan itu, para pengunjung adalah dinasihatkan agar sentiasa mematuhi Undang-Undang Kecil Taman 2012 bagi memastikan keselamatan, kebersihan dan keselesaan semua pengguna taman.
Bagi mereka yang berminat untuk menganjurkan aktiviti secara ’outdoor’ seperti aktiviti Hari Keluarga, penggambaran dan lain-lain, permohonan tempahan boleh dikemukakan melalui e-mel ke klbotanicalgarden@dbkl.gov.my berserta butiran aktiviti.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
03 2617 9000
03 2698 0460
dbkl@dbkl.gov.my
Hari Ini:
0
Keseluruhan:
0
Kemaskini Terakhir:
20/06/2026
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)