Taman Dusun Bandar telah dibina di atas tapak bekas kawasan setinggan Kampung Delima di kawasan Parlimen Bukit Bintang dan terletak berhampiran dengan Muzium Diraja. Taman ini berkeluasaan seluas 7.7 hektar.
Taman ini dibina berdasarkan konsep pembangunan untuk mewujudkan sebuah taman awam di dalam dusun buah-buahan serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan prasarana rekreasi dan riadah bagi kegunaan semua golongan masyarakat dan peringkat umur.
Antara kemudahan rekreasi yang disediakan di taman ini adalah seperti ‘jogging track’ serta taman permainan kanak-kanak. Kemudahan lain yang terdapat di taman ini adalah ‘amphitheater’, wakaf, dewan, surau serta tandas awam. Kawasan tempat letak kereta yang strategik juga disediakan berdekatan dengan kawasan taman untuk kemudahan pengunjung.
Aktiviti utama yang dijalankan di taman ini adalah seperti beriadah serta ‘jogging’ mengelilingi taman pada waktu pagi dan petang. Selain itu, taman ini juga dibuka kepada masyarakat yang berminat untuk mengadakan majlis seperti majlis perkahwinan, hari keluarga dan lain-lain dengan menyewa dewan di dalam taman untuk mendapatkan suasana yang lebih hijau dan permai.
Antara tarikan utama taman ini adalah, ia merupakan taman dusun buah pertama yang dibangunkan di dalam kawasan bandar. Selain itu, taman ini juga memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada ilmu-ilmu landskap dan hortikultur kepada pengunjung taman khususnya yang berkaitan dengan pokok buah-buahan. Taman Dusun Bandar ini disasarkan untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara dalam usaha mempromosikan buah-buahan tempatan melalui program dan penambahbaikan yang sedang dirancang dan akan dilaksanakan.
Waktu Taman Dusun Bandar dibuka adalah bermula dari jam 7.00 pagi sehingga 10.00 malam pada setiap hari. Para pengunjung diharapkan agar dapat mematuhi Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2012 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna yang lain.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menganjurkan aktiviti atau majlis di taman ini, tempahan boleh dibuat melalui klspef di laman sesawang https://appsys.dbkl.gov.my/klspef/login.asp
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
03 2617 9000
03 2698 0460
dbkl@dbkl.gov.my
Hari Ini:
0
Keseluruhan:
0
Kemaskini Terakhir:
14/09/2025
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)