Default Banner

TAMAN RIMBA KIARA

Utama / Fasiliti Awam / Taman Awam / TAMAN RIMBA KIARA

Taman Rimba Kiara terletak di Jalan Tun Mohd. Fuad yang berdekatan dengan kawasan Taman Tun Dr. Ismail dan ianya di bawah Parlimen Segambut. Taman awam ini mempunyai keluasan seluas 5.38 hektar (13.3 ekar) iaitu di atas lot 480949 berdasarkan pelan ukur terkini.


Sejarah taman ini asalnya dibangunkan sebagai kawasan Nurseri Forest Research Institute of Malaysia (FRIM) dan telah diambilalih oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 1995.


Kawasan taman ini adalah rata dan mempunyai sebuah tasik besar berkeluasan 845m2 yang menjadi kawasan takungan air bagi kawasan sekitar. Taman ini cukup kaya dengan kepelbagaian spesis pokok hutan dan pokok hiasan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesis fauna.


Selain itu, terdapat laluan siarkaki sepanjang 956 meter yang boleh dijadikan laluan joging oleh pengunjung di taman. Taman ini juga menyediakan kemudahan asas dan perabot taman yang ringkas di antaranya seperti tempat letak kereta, wakaf, padang, anak sungai, kolam tadahan, surau, tandas awam dan tapak perkhemahan.


Selain aktiviti riadah dan rekreasi, Taman Rimba Kiara ini menjadi tarikan kepada pencinta burung sangat sesuai dijadikan sebagai plot kawasan ‘bird watching’ bagi mengambil gambar spesis-spesis burung menarik yang ada di taman ini.


Waktu taman ini beroperasi dan dibuka kepada pengunjung adalah bermula dari jam 5.30 pagi hingga 10.00 malam setiap hari.


Bagi mereka yang berminat untuk menganjurkan aktiviti secara ’outdoor’ seperti aktiviti Hari Keluarga, Penggambaran dan lain-lain, bolehlah membuat tempahan melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi di talian 03-26176393.