Ahad, 23 November 2014 [ 3:03:41pm ]
A- A A+

Default ThemeGreen ThemeRed ThemeYellow Theme

Janji I Will, You Will ditunai Datuk Bandar Kuala Lumpur

 

 

27 Mac 2013 (Rabu) merupakan tarikh istimewa bagi Kuala Lumpur apabila Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Phesal Hj. Talib, Datuk Bandar Kuala Lumpur menunaikan janjinya iaitu I will, You will bersempena sambutan Earth Hour 2013, 23 Mac 2013 (Sabtu) lalu. Janji ini dibuat ekoran dari cabaran yang dikemukakan beliau kepada pemilik-pemilik bangunan sekitar Kuala Lumpur untuk memadamkan lampu selama sejam. Janji tersebut adalah untuk berbasikal dari kediamannya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur hingga ke pejabatnya di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. Cabaran itu disahut apabila sejumlah 157 responden mengambil bahagian sebagai tanda menyokong DBKL bagi menjayakan kempen tersebut.

 

Acara berbasikal ini turut disertai oleh Yang Berbahagia Datuk Hj. Salleh Yusup, Ketua Pengarah DBKL, Yang Berbahagia Datuk Zulkifli Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan DBKL, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan DBKL. Lebih manis lagi acara berbasikal sejauh enam kilometer ini juga disertai oleh Ketua Pegawai Operasi WWF Malaysia, Dato’ Dionysius Sharma, Duta Jerman, Dr. Gunter Gruber serta Duta Belanda, Mr. P.P.J Bekkers dan isteri. Ia bermula dari jam 8.20 pagi dan berakhir pada jam 8.45 pagi.

Berkata kepada wartawan DBKL, Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Phesal mengulas, usaha ini diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi menggalakkan warga kota berbasikal dengan berhemah. “Janji yang saya katakan telah pun saya tunaikan. Saya harap agar aktiviti berbasikal ini akan diteruskan malah saya akan meningkatkan aspek keselamatan seperti laluan yang sesuai kepada mereka yang ingin berbasikal di Kuala Lumpur. Semoga aktiviti riadah ini dapat memberi kebaikan untuk kita bersama,” katanya lagi.