Sabtu, 27 Mei 2017 [ 10:35:47 AM ]
A- A A+

Default ThemeGreen ThemeRed ThemeYellow Theme

Profil Jabatan

 

PENGENALAN

 

Jabatan Kawalan Bangunan (JKB) melaksanakan fungsi kawalan bangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melalui perwakilan kuasa oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133], Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Undang-Undang Kecil Bangunan (WPKL) 1985 serta pindaan-pindaan yang berkuatkuasa.

 

FUNGSI

 

Kawalan bangunan merangkumi aspek kelulusan, pemantauan pembinaan dan penguatkuasaan sebelum, semasa dan selepas bangunan siap dibina. Antara lain proses kawalan melibatkan pengeluaran kelulusan pelan bangunan, kebenaran mendirikan bangunan, permit kerja pengubahsuaian, permit bangunan sementara, permit struktur pemancar TELCO, permit kerja perobohan bangunan, permit kerja lebih masa, pemantauan tapak bina dari peringkat kerja pembinaan dimulakan sehingga Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan PSP.

 

 

Dalam aspek penguatkuasaan, JKB melaksanakan tindakan fizikal dan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan dibawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil Bangunan (WPKL) 1985. Disamping itu JKB turut mengambil tindakan terhadap aduan awam, melaksanakan kerja-kerja meruntuhkan bangunan yang tidak diluluskan serta mengambil bahagian dalam menjalankan operasi-operasi khas yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

 

Kekukuhan struktur dan integriti bangunan-bangunan tinggi dalam WPKL dipantau dengan melaksanakan Penguatkuasaan Pemeriksaan Berkala mengikut Seksyen 85A Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Pindaan Akta A1286) dengan mengeluarkan notis kepada pemunya bangunan-bangunan tinggi yang melebihi 5 tingkat supaya mengemukakan Laporan Pemeriksaan Bangunan Visual/Struktur Secara Berkala setiap 10 tahun selepas CF atau CCC dikeluarkan.

 

 

Bangunan usang dan terbiar turut dikawalselia supaya dibersihkan atau dibaikpulih oleh pemunya dan program mengecat bangunan diselaraskan bagi memastikan semua bangunan dalam Bandaraya Kuala Lumpur bersih dan teratur.

 

 

Struktur organisasi jabatan terdiri daripada 3 bahagian utama:

 

  • Bahagian Kawalan Bangunan
  • Bahagian Penguatkuasaan Tapakbina, Permit dan Forensik Bangunan
  • Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Kualiti

 

 

JKB sentiasa berusaha mempertingkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia dan bandar raya lestari untuk generasi yang akan datang.

 

 

VISI

 

Ke arah menjadikan jabatan terunggul dalam mencapai hasrat DBKL sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang tahun 2020 dari aspek kawalan bangunan.

 

 

MISI

 

Memberi perkhidmatan yang efisyen, cekap dan telus dari segi kawalan bangunan untuk Bandar Raya Kuala Lumpur.