Default Banner

Kuala Lumpur Perkasa Perancangan Bandar Di AREC 2025

Utama / Berita & Acara / Kuala Lumpur Perkasa Perancangan Bandar Di AREC 2025

July 24th, 2025 by Admin JPRK

Datuk Bandar Kuala Lumpur telah dijemput sebagai ahli panel dalam ASEAN Real Estate Conference (AREC) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Dalam sesi bertajuk “PTKL2040: Shaping Kuala Lumpur into a City That Breathes, Thrives and Belongs to All”, beliau telah berkongsi visi dan pendekatan strategik Kuala Lumpur dalam membentuk sebuah bandar yang inklusif, mampan dan berdaya tahan menjelang tahun 2040.

Datuk Bandar turut memperincikan beberapa inisiatif utama yang digariskan di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), antaranya termasuk komitmen untuk menyediakan sebanyak 305,000 unit rumah mampu milik, memperluas liputan pengangkutan awam sehingga mencapai 70 peratus penggunaan, serta membangunkan 4,700 hektar kawasan hijau yang saling bersambung bagi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang bernafas dan sihat untuk didiami.

Beliau turut menekankan beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan, termasuk Sungai Bunus River Trail yang menyepadukan pemulihan ekosistem bandar dengan fungsi rekreasi, serta inisiatif Taman Botani Stormwater Retention yang menggabungkan elemen mitigasi banjir, pendidikan alam sekitar dan kemudahan rekreasi awam.

Menurut beliau, perancangan bandar bukan sekadar membina infrastruktur fizikal, tetapi juga berkaitan dengan keadilan sosial, kemampanan alam sekitar dan kualiti hidup penduduk. Justeru, pendekatan 4P – Public, Private, People dan Partnership adalah teras utama kepada kejayaan pelaksanaan PTKL2040 secara inklusif dan kolaboratif.

Kuala Lumpur kini bergerak ke hadapan bukan sahaja sebagai sebuah bandar moden, tetapi sebagai sebuah kota yang benar-benar dimiliki, dihargai dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

5. 522193975 1295267838828569 4241169485245991053 n

5. 522480246 1295267798828573 2809675527365857754 n

5. 522815567 1295267805495239 9115803355829699247 n

5. 524323830 1295267845495235 686717531922046797 n