June 24th, 2025 by Admin JPRK
Kuala Lumpur hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam sejarah perancangannya apabila Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) telah dilancarkan secara rasmi di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL.
Majlis peluncuran ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dan disaksikan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Datuk Seri Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
PTKL2040 merupakan dokumen perancangan fizikal yang akan menjadi panduan utama pembangunan ibu kota bagi tempoh 15 tahun akan datang. Ia telah diwartakan pada 28 Mei 2025 dan berkuat kuasa mulai 11 Jun 2025. Dokumen ini memperincikan hala tuju pembangunan bandar raya dengan fokus terhadap guna tanah, intensiti pembangunan, penyediaan infrastruktur, pemeliharaan alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup warga kota.
PTKL2040 dibahagikan kepada dua jilid utama. Jilid pertama memberi fokus kepada aspek kawalan perancangan termasuk klasifikasi zon guna tanah, kawalan nisbah plot, kawalan ketinggian bangunan, insentif pembangunan, pelan susun atur serta penyediaan lapisan-lapisan kawalan seperti kawasan warisan, kawasan lapang dan kawasan sensitif alam sekitar. Jilid kedua pula memuatkan strategi pembangunan bandar secara menyeluruh, menggariskan enam matlamat utama, 39 strategi perancangan, 88 cadangan pelaksanaan serta 191 inisiatif tindakan.
Penyediaan pelan ini telah bermula sejak tahun 2019 dan melalui lebih 70 sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen, agensi teknikal, pemaju, badan profesional, NGO dan komuniti setempat. Semasa tempoh publisiti awam dari 30 Januari hingga 15 April 2024, sebanyak lebih 28,000 pandangan dan cadangan telah diterima daripada orang awam dan semua maklum balas tersebut telah dinilai secara bebas oleh Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA).
Pelan ini turut memperkenalkan beberapa pembaharuan penting seperti penambahan jenis zon guna tanah daripada 22 kepada 25 zon, termasuk Zon Kediaman 4 yang menumpukan kepada perumahan mampu milik, Zon Perkampungan Tradisi, dan Zon Kawasan Lapang Awam 2. PTKL2040 juga memperkenalkan sistem CULB2025 dengan peningkatan kategori kelas kegunaan tanah dan bangunan daripada 45 kepada 68 kelas, bagi mengawal aktiviti berdasarkan ciri setempat.
DBKL turut memperkenalkan insentif pembangunan di kawasan yang berada dalam zon pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan bas melalui pendekatan Transit-Oriented Development (TOD), serta menyediakan insentif khas bagi pembangunan semula, cantuman lot dan projek yang mengandungi komponen rumah mampu milik.
Bagi memelihara identiti dan warisan visual bandar, PTKL2040 memperkenalkan Lapisan Kawalan Perancangan yang melindungi pandangan ke arah tiga mercu tanda utama Kuala Lumpur iaitu Menara KLCC, Menara Kuala Lumpur dan Menara Merdeka 118 serta menggalakkan konsep pemeliharaan adaptif terhadap bangunan warisan.
Secara keseluruhannya, PTKL2040 bukan hanya dokumen teknikal semata-mata, tetapi lambang komitmen bersama seluruh warga kota dalam membina masa depan Kuala Lumpur yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan. DBKL menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, badan profesional dan komuniti bandar untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan pelan ini demi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar untuk semua menjelang tahun 2040.
Warga kota boleh memuat turun dokumen PTKL 2040 di pautan https://ppkl.dbkl.gov.my/en/muat-turun/
Best user experienced are using Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 11 or later.
All Rights Reserved. © 2023 - Kuala Lumpur City Hall (DBKL)