June 25th, 2025 by Admin JPRK
Taman Tasik Titiwangsa pada pagi ini menjadi lokasi penuh meriah apabila Majlis Pra Pelancaran Festival Taman Kuala Lumpur 2025 berlangsung dengan jayanya. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, dan turut dihadiri para duta, rakan strategik daripada pelbagai sektor, penaja serta wakil media. Festival Taman Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 26 Oktober 2025 ini merupakan inisiatif utama sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025, sekali gus mengukuhkan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau dan mampan bertaraf antarabangsa.
Dengan tema “ASEAN: Unity in Diversity”, festival ini akan menampilkan pelbagai elemen kebudayaan dan nilai warisan serantau, sambil mengetengahkan usaha pemuliharaan biodiversiti termasuk tumbuhan endemik Malaysia. Penganjuran ini juga menyokong inisiatif KL Green Connectors dan pelancaran KL Central Park Conservancy, di samping mempromosikan pelancongan taman bandar yang mesra komuniti dan alam sekitar. Ia merupakan medium terbaik untuk mendidik masyarakat tentang gaya hidup sihat dan kepentingan penjagaan alam semula jadi melalui pendekatan yang kreatif dan inklusif.
Antara tarikan utama festival termasuk Mystical Titiwangsa, sebuah taman bercahaya yang diinspirasikan daripada kisah legenda rakyat; Festival Gendang dan Tari Kuala Lumpur (KL GENTA) yang menampilkan persembahan tradisional dari negara ASEAN dan antarabangsa; serta ASEAN Halal Food Festival 2025 yang menyajikan pelbagai hidangan halal dari seluruh rantau ASEAN. Lebih daripada 30 aktiviti menarik turut dirancang sepanjang festival, termasuk Floating Garden, Environmental Arts, Eco Rangers Camping, Nature Spark, Ukir ASEAN, E-Sport, Fun Run, dan Rhythm of Life yang sesuai untuk seisi keluarga dan semua lapisan masyarakat.
Festival ini dibuka secara percuma kepada orang ramai, sejajar dengan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menjadikan seni, budaya dan kehijauan bandar dapat dinikmati tanpa batasan ekonomi.
Setakat ini, sebanyak 23 rakan strategik telah menyatakan sokongan mereka dan DBKL mengalu-alukan penglibatan lebih ramai pihak termasuk syarikat korporat, GLC, NGO dan komuniti awam untuk bersama-sama menjayakan festival ini di peringkat antarabangsa. Turut hadir dalam majlis hari ini ialah Duta Amerika Syarikat dan Mexico serta para Pengarah Eksekutif, ketua jabatan DBKL, penaja rasmi, serta wakil-wakil rakan strategik.
DBKL menjemput seluruh warga kota, rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa untuk bersama-sama memeriahkan Festival Taman Kuala Lumpur 2025 yang menjanjikan pengalaman unik, penuh warna-warni dan berinformasi. Maklumat lanjut serta penyertaan dalam pelbagai program dan pertandingan boleh didapati melalui laman rasmi festival di www.klparkfestival.com atau melalui saluran media sosial rasmi DBKL.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)