Default Banner

Laman Sukan Beroda @ Titiwangsa Rasmi Dibuka – Ruang Aktif Dan Mesra Komuniti Untuk Warga Kota

Utama / Berita & Acara / Laman Sukan Beroda @ Titiwangsa Rasmi Dibuka – Ruang Aktif Dan Mesra Komuniti Untuk Warga Kota

May 2nd, 2025 by Admin JPRK

Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif hari ini telah merasmikan Laman Permainan Sukan Beroda (Skatepark) @ Taman Tasik Titiwangsa, sebagai satu lagi inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperkasa ruang rekreasi berkualiti dan mesra komuniti di ibu negara.

Laman ini telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai sejak 1 Januari 2025. Kawasan ini diberi wajah baharu dengan pembinaan “Roller Rink” dan “Promenade yang menyediakan ruang khusus bagi aktiviti sukan beroda seperti “rollerskate”, “roller blade” dan “skateboard” sekaligus menambah nilai kepada landskap Taman Tasik Titiwangsa.

Menurut Datuk Bandar, Laman Permainan Sukan Beroda ini merupakan sebahagian daripada inisiatif flagship DBKL di bawah teras Bandar Raya Hijau dan Mampan. Inisiatif ini turut menyokong beberapa matlamat strategik DBKL, antaranya peningkatan kualiti kehidupan bandar melalui penciptaan ruang rekreasi yang inklusif dan mesra keluarga; pelaksanaan bandar rendah karbon dengan menggalakkan aktiviti bebas karbon seperti sukan beroda serta penggunaan laluan pejalan kaki dan basikal; pemerkasaan pelancongan bandar dengan menjadikan taman-taman awam sebagai tarikan berasaskan komuniti dan gaya hidup sihat; serta pemantapan mobiliti mikro menerusi penyediaan laluan khas dan fasiliti untuk menyokong mod mobiliti ringan dan lestari.

Projek ini melambangkan komitmen DBKL dalam membentuk bandar raya yang lebih sihat, inklusif dan lestari. Kemudahan ini dibuka kepada orang awam setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam, dan dijangka menjadi tumpuan utama rekreasi warga kota, khususnya dalam kalangan generasi muda serta peminat sukan beroda.

DBKL menyeru semua warga kota agar menggunakan kemudahan ini secara bertanggungjawab, menjaga kebersihan dan mengelakkan sebarang bentuk vandalisme demi memastikan laman ini kekal dalam keadaan terbaik untuk dinikmati bersama dalam jangka masa panjang.


Hubungi Kami

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia

03 2617 9000

03 2698 0460

dbkl@dbkl.gov.my

Jumlah Pelawat

Hari Ini:

0

Keseluruhan:

0

Kemaskini Terakhir:

09/05/2025

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas

Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)