June 21st, 2025 by Admin JPRK
Merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat bercemar duli ke Konsert Colours of Passion bersempena Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL), yang telah berlangsung pada hari ini bertempat di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1.
Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli-Duli Tuanku adalah Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-Abidin ibni Tuanku Muhriz, yang juga merupakan Penaung Diraja kepada Euroasia Association of Performing Arts.
Konsert berprestij ini merupakan sebuah persembahan seni muzik bertaraf antarabangsa yang menyatukan elemen emosi, budaya dan keunggulan muzik dalam satu malam yang penuh warna-warni, hasil anjuran Euroasia Association.
Dibawakan oleh orkestra ternama Siam Sinfonietta di bawah pimpinan Maestro Somtow Sucharitkul, konsert ini menyajikan gabungan karya orkestra klasik dan kontemporari, termasuk interpretasi segar komposisi Asia Tenggara, serta persembahan bakat-bakat muda dari rantau ini yang sedang meningkat naik.
Colours of Passion merupakan sebuah perayaan seni dan ekspresi jiwa manusia melalui muzik, yang menjanjikan pengalaman mendalam dan menyentuh perasaan baik kepada pencinta muzik klasik mahupun mereka yang baru ingin mengenali dunia muzik orkestra.
Turut hadir dalam konsert tersebut ialah YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, serta para duta dan pesuruhjaya tinggi dari Belgium, Sepanyol, Kazakhstan, Kanada dan Thailand.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)