Dengan keluasan 46.13 hektar (114 ekar), Taman Tasik Titiwangsa ini terletak kira-kira 3 kilometer dari pusat bandar. Ia telah dibuka dengan rasminya pada 1 Februari 1980 oleh mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn. Sebelum ini, kawasan tersebut dikenali sebagai Taman Jalan Kuantan, namun nama Taman Tasik Titiwangsa dipilih bersempena Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Nama tersebut dirasakan sesuai kerana suasana kehijauan dan pemandangan tanah datar kawasan ini menggambarkan iklim serta keindahan banjaran gunung tersebut. Kerja-kerja pembinaannya telah bermula pada tahun 1975.
Bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan keenam, Datuk Bandar Kuala Lumpur pada ketika itu, Tan Sri Yaakub Latiff, menyatakan harapan agar Taman Tasik Titiwangsa dapat menjadi kebanggaan warga kota serta memenuhi keperluan riadah penduduk sekitar kawasan Ulu Kelang, Datuk Keramat, Kampung Bharu, Jalan Pekeliling, Jalan Pahang, Sentul, Setapak, Gombak dan Batu Caves.
Perdana Menteri ketika itu turut menegaskan bahawa dengan adanya Taman Tasik Titiwangsa, hasrat kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah “bandar dalam taman” akan dapat direalisasikan. Kehadiran taman ini juga membolehkan warga kota mempunyai lebih banyak pilihan untuk beriadah pada hujung minggu dan musim cuti, tanpa hanya tertumpu di satu-satu taman sahaja.
Kawasan ini merupakan kawasan semula jadi yang mana tasik utamanya adalah bekas lombong, manakala kawasan daratannya dihiasi dengan pokok bunga serta pokok rendang bagi mengekalkan suasana hijau yang nyaman.
Pada tahun 2019, taman ini telah dinaik taraf sepenuhnya dengan pelbagai elemen baharu yang sesuai untuk warga kota beriadah. Antara tarikan baharu yang diperkenalkan ialah:-
-Taman Air Kanak-Kanak, taman air ini disertakan juga kemudahan bilik persalinan. Selain itu, ruang riadah ini dibina khusus untuk memberi peluang kepada kanak-kanak menikmati aktiviti permainan air dalam suasana yang selamat, ceria dan mesra keluarga.
-Laman Kerawang atau lebih dikenali sebagai Taman Maze. Ia direka bentuk menyerupai taman berliku berbentuk kerawang Melayu yang unik. Taman Maze ini menjadi lokasi kegemaran pengunjung, khususnya kanak-kanak dan keluarga, untuk aktiviti santai sambil menguji laluan mencari jalan keluar.
-Kanopi Banjaran Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa direka berinspirasikan gunung-ganang utama Semenanjung Malaysia serta flora tanah tingginya yang unik. Landskap ini bukan sahaja menampilkan keindahan alam semula jadi, malah mengingatkan kita tentang pentingnya memelihara warisan hijau demi kelestarian bandar.
Laman Permainan Sukan Beroda juga merupakan tarikan terbaharu di Taman Tasik Titiwangsa yang direka khas untuk penggemar aktiviti lasak beroda. Kawasan ini dibina dengan susun atur trek moden yang selamat, lengkap dengan cerun, selekoh dan permukaan khas bagi memberi pengalaman permainan yang lebih mencabar serta menyeronokkan.
Taman Tasik Titiwangsa terus menjadi ikon utama Kuala Lumpur serta destinasi wajib dikunjungi, bukan sahaja oleh warga tempatan tetapi juga pelancong dari seluruh pelusuk dunia yang ingin merasai keindahan landskap hijau, ketenangan tasik dan kepelbagaian kemudahan rekreasi yang ditawarkan di sini.
Selain aktiviti riadah dan rekreasi, taman ini turut menjadi lokasi pilihan jurugambar untuk penggambaran luar “outdoor shooting” kerana suasananya yang tenang serta pemandangan indah dengan latar belakang bangunan pencakar langit.
Taman ini dibuka setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam. Para pengunjung diingatkan supaya sentiasa mematuhi Undang-Undang Kecil Taman 2012 demi menjaga keselesaan bersama.
Bagi mereka yang berminat untuk menganjurkan aktiviti luar seperti hari keluarga, penggambaran dan lain-lain, tempahan boleh dibuat melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi di talian 03-26176393.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
03 2617 9000
03 2698 0460
dbkl@dbkl.gov.my
Hari Ini:
0
Keseluruhan:
0
Kemaskini Terakhir:
13/09/2025
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)